Followers

Bab 19 : Aku Bukan Mistress

Mya mengeluh kepenatan sebelum tubuhnya disandarkan ke sisi sofa berwarna putih susu di belakangnya. Terasa lenguh tengkuknya kerana sedari tadi dia hanya duduk di lantai beralas karpet berbulu tebal menghadap surat khabar. Namun perasaannya masih hampa. Satu kerja pun tidak ada yang sesuai dengan kelayakkannya.

‘Kenapalah mememilih sangat dia orang ni. Kelayakkan SPM tapi nak pengalaman sampai 6 tahun. Orang yang tak ada pengalaman, macam mana nak dapat peluang cari pengalaman. Teruk betul.’ Gerutu Mya di dalam hati.

Sudah berhari-hari dia menjadi teman setia akhbar harian itu. Ruang yang mengiklankan pekerjaan kosong memang menjadi ruang paling lama dibelek olehnya. Namun belum ada rezeki untuk dia mendapat pekerjaan yang sesuai. Kerja kilang pun dia tidak kisah, tapi berapa tahun pula baru dia boleh melangsaikan hutang Mikail.

Mya mengeluh lagi kemudian dia bangkit melutut mengemas segala kertas-kertas akhbar di atas meja kopi itu. Disusun kemas di dalam bakul di tepi almari TV. Matanya menjeling jam di dinding yang sudah menginjak angka 1 tengahari. Dahinya berkerut-kerut memikirkan sesuatu.

‘Tak kerja ke pakcik tu hari ni?’

Dia kehairanan kerana sedari pagi tadi dia tidak langsung nampak bayang Mikail turun ke ruang bawah. Walaupun hubungan mereka berantakan, Mya masih menjalankan tanggungjawabnya menjaga makan pakai lelaki itu.

Dia tidak hairan jika Mikail tidak turun bersarapan, tetapi kalau sudah terperap di dalam bilik sampai tengahari memang sesuatu yang aneh sekali.

Kalau tidak ke pejabat pun, Mikail akan keluar untuk berjogging namun hari ini langsung tidak turun. Atau lelaki itu terlalu penat? Bukan dia tidak tahu Mikail pulang ke rumah pukul 3 pagi, telinganya dapat menangkap bunyi pintu yang dibuka Mikail. Entah ke manalah dia pergi merambu agaknya.

Namun terbit juga rasa risau di celah hatinya. Jangan-jangan lelaki itu pengsan? Atau sakit? Atau juga meninggal ketika tidur? Pantas Mya menampar-nampar pipinya yang terlajak memikir yang bukan-bukan.

‘Hmm..nak pergi tanya ke tidak? Kang kalau aku masuk kacau tidur dia, mahu kena sembur pulak.’ Mya berkira-kira di dalam hati. ‘Ah, lantaklah. Tidur mati agaknya.’

Enggan terus memikirkan perihal Mikail, Mya ke dapur untuk menyediakan makan tengahari. Rasanya hari ini dia hanya akan memasak bahagiannya sahaja. Mikail tidak akan turun makan, membazir sahaja jika dimasak berlebihan.

‘Kalau lapar, pandai-pandailah dia masak Maggi.’


********

Usai menghabiskan makan tengaharinya sendirian, Mya menghabiskan masa menonton televisyen namun fikirannya terganggu dan dia langsung tidak dapat fokus dengan cerita yang ditayangkan di dada skrin besar itu. Matanya menjeling sekilas jam di dinding. Sudah pukul 2.30 petang dan Mikail belum lagi menayangkan batang hidungnya.

“Ishk, biar betul dia ni. Takkan tidur lama sangat. Sakit ke apa..’ Mya serba salah. Tidak tahu apa tindakan yang harus dia lakukan. Dia yakin dia tidak salah mengandaikan yang Mikail masih berada di dalam rumah ini. Dia tidak nampak tanda-tanda Mikail sudah keluar malah kunci kereta lelaki itu masih bergayut di tepi pintu.

Perlu ke dia naik ke atas dan memeriksa keadaan Mikail? Kalau Mikail baik-baik sahaja, alasan apa hendak dia katakan kepada lelaki itu? Silap-silap dirinya ditempelak dan diejek. Oh, memang dia tak ingin semua itu berlaku.

Tapi bagaimana kalau Mikail benar-benar sakit? Bukannya dia tahu pun, malah beberapa hari ini memang jarang mereka bertemu muka. Mana dia tahu sihat atau tidak lelaki itu.

Akhirnya Mya mengambil keputusan untuk naik juga ke atas, itu pun setelah berkali-kali kakinya mara dan mundur di hadapan tangga. Masih meragui keputusannya sendiri.

Apabila tiba di hadapan bilik Mikail yang tertutup rapat, dia semakin gelisah. Jari jemarinya diramas bagi menghilangkan resah yang menerjah tanpa sebab.

Pintu kayu itu diketuk perlahan namun masih sunyi tanpa sebarang respon. ‘Confirm, ni memang tidur mati.’ Omel Mya di dalam hati. Pintu diketuk lagi berkali-kali namun masih sama seperti tadi. Sunyi dan sepi, hanya kedengaran bunyi penghawa dingin menderu perlahan membuktikan Mikail memang berada di dalam.

Mya mengeluh. Benci betul tersepit dalam perasaan seperti ini. Kalau tidak dijenguk, bimbang pula kejadian buruk menimpa Mikail. Mahu tidak mahu dia memulas juga tombol pintu itu perlahan-lahan. “Mika, saya masuk ni.” Ujarnya perlahan.

Dia melangkah sedikit ke ruang bilik Mikail yang kemas, bilik yang pernah menjadi saksi pelbagai kisah antara dia dan Mikail. Malu untuk dia mengingatkan semua itu.

Namun matanya tepat memanah Mikail yang masih berkubang dengan comforter di atas katil. ‘Dah petang tak reti-reti nak bangkit lagi ke?’ Mya menggumam di dalam hati.

Langkahnya diatur perlahan menghampiri katil Mikail. Dia tidak mahu Mikail terjaga dan perasan kehadirannya di situ, dia yakin dia tidak akan sempat menyorok jika Mikail membuka mata.

Hatinya sedikit terusik tatkala melihat wajah tenang itu lena dalam dengkur halus. Tapi bagaikan ada sesuatu yang tidak kena pada wajah tampan lelaki dihadapannya. Penat otaknya memerah mencari apa yang kurang.

Ya!Wajah Mikail pucat. Sakitkah dia?

“Err..Mika.” Tegurnya perlahan. Namun tubuh itu masih statik tidak bergerak langsung. Mya menarik-narik hujung comforter yang membalut Mikail. “Mika.” Panggilnya berkali-kali. “Awak tak pergi kerja ke ni?”

Masih sama tiada respon. Hati Mya berdebar-debar. Pantas tangannya ditekup ke dahi Mikail.

‘Ya allah..panasnya!’ Mya kaget. Apa dia nak buat sekarang?
Pantas tangannya mencapai remote penghawa dingin dan menekan butang ‘Off’. Kemudian pandangannya kembali dihala ke wajah Mikail. Sungguh dia tidak pasti apa yang harus dilakukan sekarang.

Mya melabuhkan duduk di sisi Mikail. Tangannya kembali menyentuh dahi lelaki itu. “Mika..Awak dengar tak ni? Eh bukaklah mata, awak jangan takutkan saya macam ni.”

Melihatkan Mikail yang bersusah payah membuka mata, Mya mengeluh lega. Sekurang-kurangnya dia tahu Mikail belum sampai ke tahap koma. Ah, melalut pula otaknya.

“Ermm..awak.” Suara Mikail tersekat-sekat. Bagaikan terlalu seksa untuk mengeluarkan butir perkataan. “Sa..Saya sakit kepala ni.”

Mya mengeluh gelisah. “Awak demam ni. Awak mabuk ke semalam?” Wajahnya sedikit kelat, tidak suka jika Mikail kembali dengan tabiatnya yang satu itu.

Mikail menggeleng lemah. “Kena..hujan.” Mendengarkan jawapan Mikail, wajah Mya kembali jernih. Jatuh simpatinya melihat keadaan Mikail selemah ini.

“Dah tahu awak ni alah pada hujan, yang awak pergi tadah dia tu kenapa?” Bebel Mya perlahan. Tangannya ligat membetulkan letak duduk comforter di tubuh Mikail. Biar lelaki itu berasa hangat dan berpeluh.

“Awak tunggu sini sekejap. Saya pergi call Doktor Hadi, handphone saya kat bawah.” Mya bangun dan pantas berjalan keluar sebelum sempat Mikail menghalangnya.

Mikail mengeluh. Bagaimana Mya mahu menelefon Doktor Hadi kerana dia sudah pun menjalankan misi jahatnya awal pagi tadi. Matanya kembali dipejam rapat, kepalanya yang berdenyut-denyut membuatkan dia tidak tahan dengan panahan cahaya di ruang bilik itu walaupun sedikit.

Tidak sampai 2 minit, Mya sudah terpacul di hadapan pintu biliknya dengan wajah berkerut kehairanan.

“Saya tak jumpa handphone saya. Rasanya saya letak dekat rak sebelah TV tu. Tak adalah pulak, mana pergi ntah.” Kata-kata Mya itu lebih kepada membebel kepada dirinya sendiri. Dia tahu Mikail yang sedang sakit itu tidak ada masa untuk mendengar kisahnya.

Mikail sekadar diam dan memerhatikan Mya yang sedikit gelisah. “Handphone awak mana?” Tanya Mya sambil mencari-cari di atas meja sisi.

“Tertinggal dalam kereta.” Balas Mikail perlahan. Tangannya bergerak perlahan ke dahi. Dipicit-picit kepalanya yang bagaikan mahu pecah itu. Berdenyut-denyut sampai terasa di pangkal gusinya.

Mya mengeluh. Habis tu, bagaimana dia mahu menghubungi Doktor Hadi? Wajah Mikail yang sedang menahan sakit ditatap lagi. Kasihan pula dia melihat Mikail memicit kepalanya sendiri. Perlahan-lahan Mya melabuhkan duduk di sisi Mikail.
“Err..Awak pening sangat ke?” Melihat anggukan Mikail, Mya semakin serba salah. “Saya tolong picitkan..”

Mikail tidak menghalang tatkala jemari runcing Mya memicit lembut kepalanya. Hatinya terasa nyaman dan sejuk. Sekurang-kurangnya Mya masih mengambil berat tentang dia.

“Sekejap lagi saya ambil panadol untuk awak. Awak nak makan apa-apa tak? Bubur nak tak?” Pertanyaan Mya persis seorang ibu yang sedang menjaga anak kecil yang jatuh sakit.

Mikail membalas dengan gelengan, tekaknya tak ada selera langsung untuk menelan makanan.

“Kena jugak makan sikit, kang kena gastrik lagi teruk.” Balas Mya perlahan. Jarinya masih memicit dahi Mikail. Dia pasti Mikail menanggungm sakit yang bukan sedikit. Berkerut-kerut dahi lelaki itu.

Kesian, sungguh hatinya terusik melihat keadaan Mikail. Seingatnya selama mereka bersama, tidak pernah Mikail jatuh sakit seteruk ini. Setakat demam dan selsema biasa memang ada, tapi tidaklah sampai tahap tidak boleh bangun seperti ini.

Melihatkan Mikail yang sudah terlena, Mya bangkit dari katil. Dia perlu menanak bubur untuk Mikail walaupun dia terpaksa menjerit memaksa lelaki itu menelannya.


****

Mikail sekadar memerhatikan Mya yang meniup bubur yang sudah disudu. Entah kenapa rasa syahdu yang tidak tergambar mengalir dalam hatinya melihat kesungguhan Mya bersusah payah menjaganya.

Sejak dia sakit pagi tadi, Mya tidak betah meninggalkan dia seorang diri. Selang 10 minit Mya akan menjenguk ke dalam bilik dan memeriksa suhu badannya.

Wajah mulus milik Mya direnung lama. Rasa terbang melayang semua rasa denyut di kepalanya. Kalau tidak dikenangkan ego diri, mahu sahaja dia menarik Mya erat dalam pelukannya. Dia rindukan semua itu tapi sejak Mya meletakkan syarat ke atasnya, dia tidak lagi mampu mendekati Mya. Kalau ada pun, sekadar dalam mimpi.

“Awak ni menung pulak. Cepat bukak mulut.” Hilang melayang lamunannya dan berganti dengan wajah Mya yang sedang menyuakan sudu berisi bubur ayam yang masih berasap nipis.
“Saya tak lapar la..” Balas Mikail perlahan. Bimbang pula Mya berkecil hati.

Mya mendengus perlahan. Sudu yang sudah diceduk bubur diletakkan kembali ke dalam mangkuk.
“Awak ni macam budak-budak lah. Suruh makan ubat susah, suruh makan bubur pun susah. Nanti kalau tak makan macam mana nak baik.” Bebelnya perlahan.

Mikail sekadar diam membatu. Dalam hati mahu ketawa pula dia melihat wajah Mya yang kelat seperti mahu menghambur marah. Namun dia tahu gadis itu tidak akan sampai hati memarahinya yang sedang sakit. Orang sakit kena dilayan dengan penuh kasih sayang. Bibirnya sembunyi senyum.

“Nanti saya lapar, saya panggil awak ye. Awak suapkan okey.”
Mendengar kata-kata Mikail membuatkan Mya mengetap bibir. Ni sakit ke tak sebenarnya ni? Masih nak mengada-ngada.

Wajah Mikail yang bersandar di katil dijeling tajam. “Jangan nak over boleh tak? Makan sekarang jugak.” Tangannya pantas menyudu bubur di dalam mangkuk. Dia memang akan memaksa Mikail menelan bubur itu sekarang juga. Lelaki itu perlu makan untuk mendapatkan tenaga. Sudahlah belum berjumpa doktor, dia tidak mahu keadaannya semakin serius.

“Jahatlah nurse ni, paksa-paksa kita pulak.” Mikail membalas dengan wajah yang sengaja dimasamkan.
“Jahat tak jahat, makan sekarang.” Mya masih menyuakan sudu ke mulut Mikail. “Kalau dekat hospital, dah lama dia orang kasi awak ubat bius bagi pengsan. Senang sikit tak banyak bunyik.”

Kata-kata Mya disambut dengan senyuman oleh Mikail. Gelihati dia mendengar kata-kata Mya. Hilang juga kerinduannya terhadap kemesraan Mya yang sudah lama hilang.

“Awak sepatutnya call ambulans. Biar dia ambil saya bawak pergi hospital. Sana nurse baik-baik, cantik pulak tu.” Ujar Mikail dengan tujuan menggiat Mya. Entah kenapa badannya terasa segar apabila menatap wajah cantik jelita pujaan hatinya itu. “Mesti dia orang layan saya baik-baik, tak memaksa macam awak ni.”

“Apa awak cakap?” Mata Mya terbeliak. Tadi bukan main macam separuh mati lelaki ini terjelepuk di atas katil, dan sekarang dari mana mulut ini mendapat tenaga untuk berbicara yang bukan-bukan dengannya? “Awak ni berlakon sakit je eh?”

Mya meletakkan sudu ke dalam mangkuk dengan muka masam mencuka. Dia tahu Mikail tidak berlakon sakit kerana dia sendiri memeriksa suhu lelaki itu yang luar biasa panasnya. Namun melihatkan mulut yang petah bersuara itu, dia rasa tidak sedap hati. Bimbang Mikail mempermainkannya.

“Mana ada berlakon lah.” Balas Mikail. “Bagilah rasa bubur awak tu, sedap sangat ke?” Pintanya setelah melihat Mya mahu bangkit dari katil. Bimbang pula Mya merajuk, musnahlah harapannya yang satu itu. Mya kembali melabuhkan duduk namun riak wajahnya masih seperti tadi, kedekut dengan senyuman.

“Sedap tak sedap, jangan banyak kompelin. Dah cukup baik saya nak masakkan ni.” Balas Mya sambil menyudu bubur dan disuakan ke mulut Mikail. Mikail tersengih sambil membuka mulut menjamahnya.

“Eh sedaplahh..Awak masak banyak tak?”

Mya mengetap bibir. Kenapa lelaki ini mahu berbaik-baik dengannya? Sungguh, perangai Mikail memang seperti lalang. Hari ini moodnya mesra alam, esok lusa datang taufan dan gempa bumi pulak.

Malas dia mahu melayan perbualan Mikail namun berselera sekali lelaki itu menghabiskan semangkuk bubur yang ditanaknya. Dan sebelum melangkah keluar tadi, dia sempat memeriksa suhu badan Mikail dan suhunya menurun sedikit mengundang rasa lega di dalam hatinya.

Bukan kerana apa, dia tidak mahu terlalu kerap bersama Mikail. Bimbang kemesraan antara mereka mencambahkan perasaan yang tidak sepatutnya. Lagipun suatu hari nanti dia terpaksa juga meninggalkan lelaki itu, dia tidak mahu ada rasa sangsi atau rasa sedih melekat dalam hatinya.

Dia cuma berdoa Mikail cepat sembuh supaya mereka boleh hidup seperti sebelumnya, menjadi dua orang asing yang berbeza di bawah satu bumbung yang sama.

Cukup setakat itu.



9 Baca Laju-Laju:

fallenmoon said...

Mika kahwinlah cpt dgn Mya!

Acik Lana said...

hehehe..sabar eh..dia kena test power dulu nie..hehe

ayie said...

buat2 pjg2 yek, penat duk bace ni penuh emosi ni..hehhe

Anonymous said...

hope dorang kawin la..
tu je care mika nk mya kekal dgn die..

lgpon tu je care utk musnahkan impian jahat adam tu..uhuhu

Anonymous said...

mya jaga mika je lah..jd isteri mika...xyah keje..

Anonymous said...

mika i lov u....bagus dah x paksa2 mya'bersama'..hahah

Anonymous said...

sanggup ke si setan suzan tu jage mika kalo mika sakit teruk cam tu..?

khai said...

i follow u...best...byk sgt dugaan..persoalanyg belom settle..i likoeeee

YONG JIAO XIU said...

hmm mikail trus ok klo mya jaga kan. hp mya dah kena amik tu..

Kaunter Pertanyaan

Baiklah, jawapan DISINI