Followers

Bab 23 : Aku Bukan Mistress

Mikail membuka kot hitam yang tersarung elok di tubuhnya.Sekali sekala dia melemparkan senyuman apabila matanya bertembung pandang dengan krew-krew yang berada di sekitarnya. Lega rasanya apabila tanggungjawab yang digalas secara paksa ini sudah selesai dijayakan walaupun dia sendiri tidak tahu apa hasilnya.

“Mr.Mika, what a great shot.” Puji Kevin selaku photographer dari majalah Successful Bachelor. Salah satu majalah yang sedang mendapat tempat dalam dunia penerbitan di Malaysia masa kini.

Mikail tersenyum lebar. “Actually, thanks to you Kevin.” Balasnya apabila teringatkan lelaki berbangsa Cina itu yang banyak membantunya untuk memberi pose yang menarik. Dia manalah biasa menjadi model, malah tak pernah terfikir untuk melakukannya jika tidak kerana terpaksa.

Tapi terbit juga rasa bangga dalam dirinya kerana diwawancara atas kejayaannya sebagai usahawan muda yang cemerlang di ibu kota ini. Bukan mudah untuk dia berada dikedudukan sekarang, betapa jerih perih untuk memajukan syarikatnya itu dihadapi seorang diri. Namun kini dia boleh berdiri megah dengan rekod bersihnya sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

Sebelum Kevin meminta diri, sempat juga mereka bertukar kad bisnes kerana Kevin benar-benar berminat untuk mengambil gambarnya lagi di masa hadapan. Cuma Mikail belum pasti berminat atau tidak. Dunia penuh glamor ini bukan minatnya, dia tidak perlukan semua perhatian itu.

Mikail memandang sekeliling mencari bayang Suzanne. Dia mahu beredar sekarang kerana sudah melewati waktu makan tengahari. Mengenangkan sejak dari pagi tadi dia sibuk menghubungi Mya melalui telefon bimbit Farhan dan memaksa Mya memasak makan tengahari hari ini.

Rungutan Mya di sana langsung tidak dipedulikannya. Malah ringan sahaja mulutnya meng’order’ segala macam menu untuk dimasak Mya. Dia rindukan air tangan gadis itu. Mengada! Padahal baru sehari dia tidak pulang ke kondonya itu.

Bukan dia mahu makan sangat, cuma dia rindukan Mya. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata di bilik hotel. Tidak betah rasanya tidak sebumbung dengan si cantik itu. Angau dibuatnya. Nak telefon melepaskan rindu, Mya tidak punya telefon. Silapnya juga mencuri dan menyorokkan telefon bimbit Mya.

“My darling..” Satu suara yang amat dikenali menyapa dari belakang. Pantas Mikail menoleh. Suzanne tergedek-gedek menghampirinya. Hari ini pakaiannya semakin menjolok mata, sakit mata Mikail memandangnya.

“How’s everything? Sesuai betul baju I dekat badan you.” Tangannya sudah melurut ke tubuh Mikail membetulkan baju yang masih tersarung kemas di tubuh sasa Mikail.

“Good. Where you’ve been? I dah nak balik ni.” Balas Mikail dan dia berundur sedikit, menjarakkan tubuhnya dengan Suzanne. Naik segan mukanya apabila beberapa orang krew menjeling dengan senyuman penuh makna.

“I pergi simpan baju dekat belakang.Hurm. Cepatnya you nak balik.” Balas Suzanne dengan riak wajah sedikit kecewa. “I baru nak ajak you lunch dengan budak-budak ni.” Suzanne merujuk kepada krew-krew penggambaran di situ.

“So sorry, I can’t. “ Balas Mikail sambil mencapai beg pakaiannya untuk menukar baju. “I ada lunch appointment, dan sekarang I dah lambat.” Sudah cukup baik dia mengikut kehendak Suzanne dan sekarang dia mahu turutkan kehendak hatinya pula. Rimas melayan kerenah Suzanne yang bukan-bukan.

“Hurm, atau you dah tak sabar nak balik rumah? Ada orang menunggu katakan..” Bibir Suzanne memuncung. Kata-katanya yang sinis itu mencuri perhatian Mikail. Wajah Suzanne direnung penuh tanda tanya.

“What do you mean?” Pertanyaan Mikail membuatkan Suzanne terkedu. Macam manalah dia boleh terlepas cakap. Teruk dia nanti kalau Mikail tahu yang Adam sudah membocorkan rahsia tentang Mya kepadanya. Ah, gadis celaka itu memang benar-benar menyakitkan hatinya!

“Oh nothing. I didn’t mean anything.” Balas Suzanne sambil pura-pura sibuk mengemas pakaian rekaannya yang disarung Mikail pada sesi penggambaran tadi. Wajah Mikail langsung tidak berani ditentang.

Mikail ragu-ragu dengan jawapan Suzanne namun dia tidak mahu memaksa. Bukan dia tidak tahu sifat Suzanne yang sentiasa penuh dengan muslihat itu. Jam tangannya dijeling sekilas. Sudah hampir pukul 3 petang. Kasihan Mya dan Farhan, pastinya mereka menanti dia pulang untuk makan tengahari bersama.

“Okeylah. I got to go, Bye!” Mikail mengangkat tangan dan pantas berlalu meninggalkan Suzanne yang masih terkebil-kebil di situ dengan hati yang bungkam. Pedih hatinya melihat Mikail berlalu begitu sahaja.

Suzy yang bertugas sebagai penyelaras pakaian menghampiri Suzanne. “Cik Suzanne, boyfriend you tak join kita makan ke nanti?” Pertanyaan itu membuatkan Suzanne malu sendiri. Memang sudah dia canangkan kepada semua orang di sini bahawa Mikail adalah kekasihnya.

Kembang hatinya tadi apabila semua orang memuji ketampanan Mikail, memang betul-betul membuatkan dia seronok dan bangga. Siapa tidak bangga bergandingan dengan Mikail yang tampan dan kaya itu. Tapi Mikail pula melayannya acuh tidak acuh. Malu sungguh!

“Oh well, he has another thing to do.” Balas Suzanne dengan wajah terpaksa dimaniskan. “You know lah kan, businessman yang berjaya macam dia memang busy.”

Suzy membalas dengan anggukan dan senyuman kecil, langsung tidak mengesyaki auta si Suzanne. “You are so lucky Cik Suzanne. Jealous kami tau.”

Suzanne kembang hati lagi walaupun terselit rasa sakit di atas layanan Mikail terhadapnya. Benar, dia memang suka kalau semua wanita di dunia ini cemburukannya.

Dan kerana itu dia mahu memiliki Mikail walau apa cara sekalipun.

*****

Mikail menekan loceng di tepi pintu untuk kali kedua. Entah kenapa lambat benar Mya membuka pintu, entah apa yang dibuatnya di dalam sana. Bebelnya geram di dalam hari.

‘Sudahlah kita ni menanggung rindu dekat dia, macam nak dah meletup hati ni. Dia boleh pulak terhegeh-hegeh. ‘ Omel Mikail tidak sabar.

Beberapa saat kemudian pintu terkuak dan Farhan muncul di muka pintu. “Abang, sorry.” Gadis itu mengukir senyum. “Kak Mya tengah solat. Farhan tengah buat air dekat dapur tadi.”

Mikail sekadar tersenyum mesra. “Tak apa, abang yang patut mintak maaf.” Balasnya. “Hari ni sibuk sangat, tak sempat nak keluar lunch tadi.”

Farhan tersengih dan berganjak ke tepi sedikit untuk memberi laluan kepada Mikail dan kemudian dia kembali menutup pintu. “Kita ada tetamu hari ni.” Kata-kata Farhan membuatkan Mikail kehairanan. Pantas matanya disorotkan ke arah ruang tamu.

Berdegup kencang hatinya tatkala melihat seraut wajah itu. Apa lelaki ini buat di rumahnya? Hati Mikail panas tiba-tiba namun dia masih cuba mengawal reaksinya dengan tenang. Kaki dihalakan ke arah lelaki yang sudah bangkit dari sofa untuk berjabat tangan.

“Hai,saya Shamil.” Ucapnya seraya menghulurkan tangan. Mata Mikail tajam memanah wajahnya namun disambut juga tangan lelaki itu. Dia tidak suka ada lelaki lain menjejakkan kaki ke dalam rumahnya, lebih-lebih lagi ketika dia tiada di sini.

“Mikail.” Balasnya sepatah sebelum melabuhkan duduk di sofa. Sungguh, dia tiada hati untuk berbual mesra dengan lelaki ini. Bukan dia tidak ingat betapa lelaki itu memandangnya penuh cemburu ketika dia dan Mya berada di rumah Mak Senah tempohari. Hatinya tidak bijak meneka namun dia yakin Shamil dan Mya pernah mempunyai hubungan istimewa satu masa dahulu.

Dan kerana itu, dia tidak akan membenarkan Shamil mendekati Mya walaupun setapak.

“Shamil ni bakal tunang Farhan.” Ujar Farhan tanpa dipinta. Bibir itu begitu ikhlas mempamerkan senyum saat menyebut perkataan ‘bakal tunang’. “Eh abang berbual dulu la dengan Shamil, Farhan bancuh air dulu ye.”

Mikail hanya memerhatikan Farhan melangkah ke ruang dapur. Lelaki di hadapannya yang masih tenang dipandang lama. Lelaki itu boleh tahan juga kacaknya, jadi sedikit sebanyak rasa cemburu terbit juga dari hatinya.

Dia tidak dapat menidakkan hatinya berfikir bukan-bukan.Sejauh mana hubungan Mya dengan Shamil? Pernahkah Shamil menyentuh Mya sebagaimana dia menyentuh gadis itu? Ah, sakit hatinya memikirkan itu semua!

“Dah lama ke kau sampai sini?” Tanya Mikail dengan nada yang tenang. Dia tidak boleh menunjukkan riak kurang senangnya, itu akan menambahkan lagi ego lelaki itu untuk bersaing berebutkan Mya dengannya.

Shamil tersenyum mendengar Mikail membahasakan ‘kau’ dengannya. Dia tidak bodoh untuk melihat reaksi kurang senang Mikail pada dirinya. Pasti Mikail dibakar rasa cemburu yang menggila sekarang.

“Pukul 12.00 tadi, lepas aku ambil Farhan dekat tempat interview dia.” Balas Shamil dengan senyuman.

Mikail menjeling jam di dinding. Sekarang sudah hampir pukul 4.00 petang, bermakna Shamil sudah lama berada di sini. Celaka betul. Hatinya semakin meluap-luap dengan cemburu. Enggan hatinya semakin sakit melihat senyuman sumbing di bibir Shamil, Mikail mencapai akhbar dan membeleknya dengan hati terbuku.

Shamil sekadar tenang walaupun hatinya sendiri semakin sakit dengan semua ini. Melihatkan Mikaikl yang segak berpakaian pejabat membuatkan dia berasa jauh hati. Dia tidak mungkin dapat menandingi kekayaan dan ketampanan lelaki di hadapannya ini. Dia sekadar penjawat awam, standard Mikail jauh dari jangkauannya.

Tapi dia yakin itu bukan tiket untuk memenangi hati Mya. Mya bukan jenis memandang harta benda walaupun Mikail bermurah hati menyediakan kondo mewah ini kepada bekas kekasihnya itu. Walaupun begitu, dia tidak dapat menafikan hatinya remuk tatkala melihat rumah Mya dihiasi dengan gambar-gambar Mikail. Benarkah Mya obseskan lelaki itu?

“Awak dah balik.” Teguran Mya yang tiba-tiba terpacul di situ mematikan lamunan Shamil. Wajah Mya yang segar dengan anak rambut masih lembab kerana air wudhuk menambahkan keayuannya. Sejuk hati Shamil memandang.

Mikail merenung Mya dengan riak kurang senang. Dia mahu Mya tahu dia bencikan lelaki ini menjejakkan kaki ke rumahnya. Namun Mya bereaksi selamba. Duduknya dilabuhkan ke sofa di hujung sana, bukan di sisi Mikail membuatkan lelaki itu semakin geram.

Mya sengaja mencari pasal, padahal Farhan sudah yakin mereka berdua ini pasangan kekasih. Sepatutnya Mya perlu berlakon sebagai kekasihnya dengan baik, bukan buat selamba begini. Omelnya di dalam hati.

“Saya lapar.” Kata Mikail dengan nada mendatar. Kecewa hatinya apabila Mya tidak mempelawa dia makan. “Cepat siapkan makanan.”

Mya memandangnya dengan pandangan pelik. “Awak belum lunch lagi ke?” Melihatkan Mikail menggeleng, Mya tersenyum kelat. “Saya ingat awak dah makan. Nasi dah habis la, tadi saya ajak Shamil makan sekali. Ingatkan awak tak datang, dah lewat sangat tadi.”

Kata-kata Mya membuatkan darah menyerbu ke kepala Mikail. Merah mukanya mendengarkan Shamil sudah menghabiskan bahagiaannya. Berani betul dia. Sekarang ambil makanannya, esok lusa mungkin lelaki itu akan mengambil Mya pula.

Mikail mengetap bibir. Dia sangat kecil hati saat ini, sampai hati Mya tidak ingat padanya. “Kan saya kata saya nak datang sini, kenapa awak tak simpankan makanan saya?” Tanyanya dengan nada tertahan. Shamil yang pura-pura membaca akhbar dijeling geram.

“Saya ingat awak makan dekat luar.” Balas Mya sambil bangkit membantu Farhan yang menatang dulang dan cekodok pisang yang masih panas. “Ha, ni ada cekodok. Awak makan dulu ni buat alas perut.”

Mikail mengetap bibir. Orang lapar disuruhnya makan cekodok? Mikail bangun dan pantas melangkah ke dapur. Dia tidak boleh berlama di sana, hatinya bagaikan mahu pecah. Sakitnya tidak terkira. Adakah kerana kehadiran Shamil, Mya sudah tidak mahu memanjainya?

“Mika, awak ni kenapa?” Tanya Mya yang mengekorinya ke dapur. Wajah tegang Mikail tadi benar-benar membuatkan dia susah hati. Merajuk ke lelaki ini?

Mikail mencapai gelas dan membuka peti sejuk. Pertanyaan Mya tidak dijawab lantaran hati yang sedang sakit. Susu segar dituang ke dalam gelas dan diteguk dengan rakus. Perutnya sudah masuk angin kerana kelaparan. Kalau dia tahu, dia pergi sahaja makan dengan Suzanne tadi. Tak perlu menanggung rasa seperti ini.

“Mika, awak diam ni kenapa?” Mya menghampiri Mika dan menyentuh lembut lengan lelaki itu. Lain benar riak Mikail hari ini. Pagi tadi bukan main ceria suaranya, takkan kerana nasi dia mahu merajuk sampai begitu sekali.

“Apa lelaki tu buat dalam rumah saya?” Suara Mikail bergetar bagaikan menahan marah yang amat sangat. Mya terpempan dengan soalan Mikail.

“Shamil?” Mya bertanya sebelum dia tersenyum kelat. “Dia kan datang dengan Farhan tadi, takkan saya tak pelawa dia masuk.”

“Hantar aje tak boleh ke? Kenapa sampai nak menebeng dekat sini sampai ke petang?” Balas Mikail geram. Ikutkan hati mahu sahaja dia menjerit melepaskan kemarahan, namun dia tidak mahu Farhan terdengar dan berkecil hati. “Dia nak tidur dekat sini ke apa?”

Mya mengeluh. Dah datang pulak angin kus-kus dia ni. “Bukannya kami buat benda tak elok. Awak ni janganlah fikir bukan-bukan.” Rungut Mya. Dia tidak suka apabila Mikail bereaksi seperti ini, rimas. “Sekejap lagi dia balik lah.”

“Then esok lusa datang lagi sini? Apa dia nak sebenarnya?” Mikail memandang Mya dengan mata kemerahan. Dia sangat-sangat sakit hati, Mya tidak nampakkah? Dia bimbang kalau hari-hari Shamil ke sini dan menggoda Mya, pasti Mya terpedaya.

Mya mendengus geram. “Awak ni janganlah macam ni, kenapa nak marah sangat. Kalau dia datang pun, dia jumpa Farhan bukannya saya.”

“Ah, macamlah saya tak tahu. Cara dia pandang awak, nampak sangat dia nakkan awak. Awak tak nampak ke? Buta?” Kata-kata Mikail membuatkan Mya terpaku. Tidak sangka Mikail juga perasan akan hal itu. Dia sendiri tahu tujuan Shamil ke mari, malah lelaki itu lebih berminat memandang dirinya berbanding Farhan.

Dia tidak mahu Farhan berkecil hati, mahu tidak mahu kehadiran Shamil terpaksa juga diterima separuh rela. “Okey, macam ni lah. Nanti saya suruh Farhan jumpa Shamil dekat luar. Jangan bawak ke sini lagi. Boleh macam tu?”

Mikail terdiam mendengar cadangan Mya. Wajah Mya yang tenang dipandang lama, betapa dia rindukan Mya. Dia tidak mahu Mya menguji hatinya seperti ini. “Fine.” Wajahnya yang beriak tegang tadi sudah kembali tenang.“Awak ni pun satu, tak pandai berlakon langsung.” Rungutnya dengan nada separuh merajuk.

Mya mengerutkan kening kehairanan. “Berlakon apanya?”

“Kita kan couple, kenapa awak tak berlakon mesra-mesra dengan saya?” Ujar Mikail selamba. “Nanti Farhan tahu pulak kita tipu dia.” Sambung Mikail lagi.

Mya terpinga-pinga. “Eh, perlu ke?”

“Perlu la, itu pun awak tak tahu.” Balas Mikail geram. “Dah, sekarang pergi depan kita pegang tangan.”

“What?” Mya hampir terlompat apabila Mikail meraih tangannya kemas. “Eee, tak payahlah.”

“Diam. Lepas ni awak cakap dengan dia orang awak nak masakkan saya makan. Jangan lupa panggil saya Sayang, okey?”

Mya mengetap bibir. “Awak ni over betul. Tak payahlah sampai situ.”

“Eh, diamlah dia ni.” Mikail menjegilkan mata, pura-pura marahkan Mya. “Sekarang jom ke depan.” Mikail memimpin tangan Mya dan melangkah ke ruang depan.

Mya sekadar menurut, malas mahu berlawan cakap dengan lelaki ini.Silap-silap Mikail bertempik pula satu rumah.




14 Baca Laju-Laju:

Anonymous said...

kalo takut mya kene kebas...cptlahhh nikah mya...ishh mika nih...gerammmmmmmm

mawar said...

mika merajuk mcm budak2 lah..hahah
nk mika kahwin mya....

Acik Lana said...

hehe..Mikail gedik kan..

sabar yer, Mikail belum dapat keberanian lagi ni..huhu

fallenmoon said...

Acik Lana, kelakarlah tgk Mika.Cute sesangat! :D

Emaharuka said...

Ekekekeke mika pndi cmbru..
Suzanne kacau daun betul

Anonymous said...

hoiiiiiiiii suzzane ko pegi berambusssssssss rrrr
aku mencikkkkkkkks ko......!!!!!!!huh

ayu23 said...

LOL...mika merajuk..LOL...
acikkkk maceh byk yer sbb wat hidup sy hepi ngan citer ni...mika i love u larh...

Anonymous said...

x suker adam..nape jahat sgt citer psl mya kat suzzane....aduyaiii...

Acik Lana said...

hehe..tahnks to korang la..rajin buang masa kat sini..

Mikail mmg kesayanganku jua..ceywahh. kene lempang gan Mya satgi. bhahaha

epy elina said...

alah...
sweet la mika n mya ni...

keSENGALan teserlah.. said...

hahah..suke tgk mika merajuk..
lawak jee..

cpt2 la dorang kahwin..ngeeeeee..

blah la adam n suzanne tu haa..
n shamil pun kalau dye ada niat nk wat hal,sila blah jugak yee..
=P

Anonymous said...

hohoho..pe kate mika wat suprise bg tau shamil n farhan yg dia nk kahwin mya terus..tamau la couple2...hhahaha...br terbeliak mata syamil....

Anor said...

iyelah kalo dh sayang dan rindu cptlh kawin dgn mya sebelum
dikebas org lain kan?
cemburu je tak guna kalo
tak cepat bertindakkan?????

violet lavender said...

kahkahkah.. lawaknya org lelaki ni bila cemburu kan.. kuikuikui

Kaunter Pertanyaan

Baiklah, jawapan DISINI