Followers

Bab 2: Maaf Jika Aku Tak Sempurna

Melina masih berselubung dalam comforter ketika Datin Maziah mengetuk pintu biliknya. Ketukan yang kuat dan laungan dari wanita itu langsung tidak lekat di deria pendengaran Melina. Dia masih hanyut dalam lena yang panjang walaupun saat itu matahari sudah tegak di kepala.


“Mel, bangun. Dah tengahari ni.” Datin Maziah melaung sambil tangannya tidak jemu mengetuk pintu bilik Melina.

Dia mendengus kecil. Setiap hari dia terpaksa membuat perkara yang sama gara-gara mahu mengejutkan anak gadisnya. Kalau dibiarkan, memang sampai ke malam Melina akan membuta. Langsung tidak ke kolej dan kuliah.


Pintu bilik Melina yang terkunci membuatkan niatnya terhalang untuk masuk ke dalam sana namun dia setia menanti bibik mengambil kunci pendua di bawah. Geramnya bukan sedikit kali ini. Dia tahu Melina pulang ke rumah pukul 4 pagi tadi, entah ke mana pula gadis itu merambu malam tadi.

“Puan, ini kuncinya.” Bibik yang berdiri di sisinya menghulurkan segugus kunci.

“Terima kasih, bik. Nanti tolong kemaskan meja makan ye.” Sengaja Datin Maziah memberikan tugas itu, tidak mahu bibik menyaksikan pertengkaran mereka dua beranak yang bagaikan menjadi rutin harian itu.


Datin Maziah memasukkan kunci ke dalam rongga pintu sebelum menguak pintu itu dengan perlahan. Kemudian dia mengatur langkah menghampiri Melina yang masih selesa bergelumang dengan comforternya.

Datin Maziah menggelengkan kepala melihat bilik Melina yang bersepah. Baju-baju yang sudah dipakai dicampak sesuka hati di lantai, begitu juga dengan aksesori semuanya berada di lantai. Padahal sudah dia sediakan kelengkapan yang cantik dan selesa untuk anak gadisnya di dalam bilik ini, masih juga Melina mencampakkan barangnya sesuka hati.


“Mel, bangun Mel!” Datin Maziah menggoncangkan badan anak gadisnya. Kelihatan Melina bergerak sedikit namun sekadar mencapai bantal dan menutup kepalanya. Seolah-olah isyarat dia tidak mahu diganggu.

“Eh, budak ni. Boleh lagi dia sambung tidur. Bangun Mel!” Ujar Datin Maziah sedikit kasar. Geram dengan reaksi Melina yang tidak pernah berubah itu.

“Eee..mama ni bisinglah!” Melina mendengus geram namun dia masih seperti tadi, tidak berganjak dari katilnya.


“Bising apa? Ni dah tengahari dah, pukul berapa nak bangun?” Balas Datin Maziah geram. Tangannya menarik comforter yang menyelimuti Melina. Mahu tidak mahu dia terpaksa berbuat demikian, jika tidak memang Melina tidak akan bangkit dari katilnya.

“Mama!” Pekik Melina lantang. Dengan malas dia bangun juga membuka mata namun bibirnya muncung sedepa. “Kenapa kacau Mel tidur? Mengantuklah, orang nak tidur pun tak senang.”

Datin Maziah mengetap bibirnya. “Tidur apa? Orang tidur time malam, bangun pagi. Bukannya berjaga malam, lepas tu siang baru nak tidur. Apa nak jadi kamu ni Melina? Kenapa hari ni tak pergi kuliah?”

Melina menjeling tajam wajah Datin Maziah yang kemerahan akibat marah. Ah,bosan sungguh. Hari-hari dia terpaksa menghadap drama seperti ini.


“Mama ni bising tau, asyik nak cakap benda yang sama aje. Muaklah telinga Mel ni.” Balasnya kasar. Dia duduk bersandar di kepala katil sambil melurut rambutnya yang kusut. Matanya benar-benar mengantuk akibat tidak cukup tidur jadi dia tiada mood mahu mendengar ceramah mamanya.

“Bising kata kamu? Eh, dah seminggu tahu kamu tak ke kuliah. Apa kamu ingat mama dengan papa bayar yuran kamu nak suruh kamu ponteng macam ni?” Tempelak Datin Maziah dengan wajah menyinga.

Sakit sungguh hatinya dengan sikap anak sulungnya ini. Entah kenapa sukar benar mahu membentuk dan menjaga Melina, padahal dahulu Melina baik-baik sahaja. Pasti kerana sudah bercampur dengan rakan-rakan yang tidak baik membuatkan Melina sudah berubah jauh.

“Orang tak ada kelaslah!” Bentak Melina dengan suara meninggi.

“Tak ada kelas? Banyaklah tak ada kelas.” Balas Datin Maziah sinis. “Tu surat dari kolej kamu dah sampai, cakap kamu tak datang kelas dah lama dah. Kamu sengaja ponteng kan?”

Melina terkaku. Aduh, pastinya Puan Latifah sudah tidak mampu bersabar dengannya. Pensyarahnya yang seorang itu memang begitu, memang suka mencari salahnya.


Melina bangkit juga dengan wajah masam mencuka. Kalau dilawan cakap mamanya, sampai esok pun takkan habis. Baik dia mandi dan bersiap, nanti bolehlah dia mengajak Yuni melepak di mana-mana. Duduk di rumah ini pun, tak ubah macam neraka.

“Hah, ni kamu nak ke mana pulak?” Pertanyaan Datin Maziah bagaikan sengaja mengikis kesabaran dalam hati remajanya.

“Mandilah. Nak pergi kolej!” Balasnya kasar. Ada-ada sahaja yang tidak kena di mata mamanya. Dia tidur salah, dia nak mandi pun asyik disoal siasat,bosan betul!

“Kamu jangan nak melencong ke lain pulak Mel. Hari ni papa dah suruh Abang Zaki hantar kamu ke kolej, jangan nak bawak kereta kamu keluar.”


Melina tersentak. Kenapa pula keretanya tidak boleh dibawa keluar? Nampaknya mama dan papa sengaja mahu driver mereka menghantar dia ke kolej, pasti kerana mereka tahu niatnya untuk melencong ke lain.

“What? Eh teruknya. Tu kan kereta Mel, sukahati la Mel nak bawak ke mana pun!” Kaki yang mahu melangkah ke bilik air terhenti tatkala mendengar arahan Datin Maziah tadi. Dia sangat bengang dan marah saat ini, terasa mama dan papa sengaja menggunakan kuasa mereka untuk menghukumnya.

“Memang kereta Mel, tapi bulan-bulan papa yang bayar. So papa lebih berhak.” Balas Datin Maziah tegas. “Ingat, jangan harap nak bawak kereta hari ni. Abang Zaki akan hantar dan ambil Mel dekat kolej.”


Melina mengetapkan bibirnya. Tak sudah-sudah papa dan mama mahu mengawalnya. Dia bukan budak kecil lagi, dia sudah 22 tahun. Kenapa masih mahu melayannya bagaikan dia masih budak sekolah menengah?

“Bosan betul lah! Semuanya nak control, ingat Mel ni budak kecik ke?” Tempelak Melina kasar sebelum dia masuk ke dalam bilik mandi dan menghempaskan pintu sekuat hati.

Datin Maziah tersentak dengan ragam Melina. Segera dia mengurut dadanya yang sedikit terkejut dengan bunyi hempasan pintu itu sebentar tadi.


Runsing hati tuanya memikirkan Melina, dia benar-benar berharap suaminya dapat mencari jalan untuk mengawal dan mengubah sikap anak sulung mereka itu. Itupun jika Melina belum menjadi rebung!



6 Baca Laju-Laju:

N@wZIera said...

ish..ish..biadap sungguh mel..kalau aku mak dia dah lama kena penampar...(emosi plak)xcium syurga larh mel melawan cakap org tua...hrmm next en3...apa cer laks..

faiicie said...

realiti di Malaysia mmg dah mcm nie ker??
teruknya anak2 zaman skrg...

ieda ismail said...

mmg biadap tol mel ni, isk3...grum plak jdnya, huhuhu

Anonymous said...

adoiii...pangkat datuk pon xleh nak beli kereta cash ek???
kena bayar bulan2.hehe.
x byk mana pon duit.

Cheerybell said...

Ish, ish, ish, biadap betul si Mel. Kalo saya Mel, dah lama muka saya dapat hadiah.

just myself said...

mel mel hati kau keras

Kaunter Pertanyaan

Baiklah, jawapan DISINI