Followers

Bab 4 : Maaf Jika Aku Tak Sempurna

Sarah memegang bakul berisi sebekas karipap dan flusk berisi kopi panas. Matanya meliar mencari bayang lelaki yang dicari disebalik pokok-pokok menghijau separas bahu. Kain kurung yang dipakainya disingkap sedikit untuk mengelak tanah merah yang masih lembab di bawah kakinya terpercik ke kain.
Tatkala terpandangkan kelibat lelaki yang sedang mencangkung berhampiran pokok kacang panjang, Sarah tersenyum lebar. Segera dia menghampiri lelaki itu namun kakinya diatur kemas, bimbang terjatuh bagaikan nangka busuk, lebih-lebih lagi di hadapan si tampan itu.

“Assalamualaikum, Luq.” Sapanya perlahan. Tangannya membetulkan kedudukan kain yang disingkap sedikit tadi. Mahu tampak kemas dan anggun di mata Luqman seperti selalu.
“Waalaikumussalam. Hai Sarah.” Luqman bangun berdiri dengan senyuman manis menghiasi wajahnya tatkala melihat Sarah berdiri penuh santun di hadapannya. Anak Pak Mail ini memang manis dan baik hati, sering datang menjenguknya di sini.
“Erm, Luq dah makan ke?” Sarah tunduk segan. Tidak sanggup melayan rasa debar yang menggila dalam dadanya tatkala mata Luqman redup menyantap seluruh wajahnya.
“Dah makan tengahari tadi. Sarah bawak apa pulak petang ni?” Terpandangkan bakul berwarna merah di genggaman Sarah, dia pasti gadis itu membawa sesuatu untuknya. Sama seperti petang-petang yang lalu dan kini dia sudah biasa dengan kehadiran Sarah di kebun sayur ayahnya ini.

Sarah tersenyum lagi. “Hari ni saya bawak karipap dengan kopi o. Nak makan sekarang?”
Luqman tersenyum. Memang perutnya sudah lapar petang-petang begini, tambahan pula dia hanya maka tengahari dengan menjamah mi sup di kedai Kak Kiah dekat simpang jalan besar itu.
“Sure. Jom duduk dekat sana.” Luqman menanggalkan sarung tangan yang sejak tadi melekat di kedua belah tangannya. Luqman dan Sarah melangkah seiringan menuju ke arah pondok kecil yang menghadap ke kebun kubis.
Sarah meletakkan bakul di atas pangkin sebelum tangannya ligat mengeluarkan makanan dan minuman. Kopi panas dituang ke dalam cawan jernih dan diserahkan kepada Luqman.
“Thanks. Awak tak minum sekali?”

Sarah menggeleng sambil tersenyum mendengar pertanyaan Luqman. Wajah Luqman yang tenang menghirup kopi membuatkan hatinya terbuai-buai. Sungguh, sudah lama benar dia menyimpan rasa rindu terhadap Luqman. Ketiadaan Luqman yang melanjutkan pelajaran ke UK selama 4 tahun membuatkan dirinya tidak senang duduk. Tidak tahu ke mana mahu ditebuskan rasa rindu yang berkocak di dalam hati. Meskipun Luqman tidak pernah memberi status yang jelas kepada hubungan rapat mereka, dia yakin pasti terselit juga rasa untuknya di celah hati lelaki pujaan Malaya ini.
Sarah sedar dia tidak layak mengimpikan Luqman yang kacak serba sempurna, terlalu ramai gadis yang mahu bersaing mendapatkan perhatian lelaki itu. Tapi niatnya bukan mahu berbangga dengan kelebihan fizikal Luqman, hatinya ikhlas mahu memiliki sekeping hati lelaki itu. Malahan sejak sekolah menengah dia sudah jatuh hati kepada Luqman, cuma Luqman pura-pura tidak mendengar panggilan hatinya.
“Sarah? Ishk, awak menung apa ni?” Luqman tergelak kecil melihat Sarah yang termangu-mangu. Entah apa gadis ini menungkan sampai berkerut keningnya.
Sarah menggelabah. Bimbang Luqman perasan riaknya yang sedang pening memikirkan empunya diri.
“Err..Tak ada apalah” Sarah tersenyum kelat. Wajah Luqman yang menguntum senyum dipandang lama. Kalau orang kata ‘prince Chaming’ tidak wujud, pasti mereka tertipu kerana di hadapannya ini adalah lelaki yang lebih hebat daripada putera dongengan itu. Luqman kacak, segak, tinggi lampai dan sasa dengan kulit cerah tanpa sepalit jerawat menodai wajah tampan itu. Spontan Sarah menyentuh jerawat kecil yang baru tumbuh di bawah dagunya. Ah, kulit Luqman lagi elok terjaga. Malunya dia.
‘Luqman, bukaklah pintu hati awak untuk saya. Saya tak sabar nak melompat masuk ke dalam.’

“Sarah.” Panggil Luqman berulang kali. Apa kena Sarah hari ini, asyik berangan dan mengelamun. Wajah manis Sarah dipandang dengan senyuman.
“Err..apa? Awak cakap apa tadi?” Sarah tersengih memandang Luqman.
Luqman tergelak dengan reaksi Sarah yang serba tidak kena. “
“Awak ni banyaknya berangan, ingat dekat pakwe ke?” Wajah Sarah dipandang lama. Walaupun Sarah bukanlah gadis paling cantik pernah dia lihat, namun gadis itu ada keistimewaannya tersendiri. Sopan, baik hati dan bijak mengambil hati mak dan ayahnya. Cuma dia sendiri belum pasti apa perasaanya terhadap Sarah.
“Hish, mana ada pakwe-pakwe ni.” Balas Sarah perlahan. Wajahnya merona merah diusik sebegitu. “Awak dah makan ke belum karipap tu?”
“Tengah makan la ni. Sebab tu tadi saya tanya awak, awak ke Mak Jah yang masak ni.” Balas Luqman dengan senyum masih meniti di bibir. Sarah menahan rasa, janganlah begitu pemurah dengan senyuman Luqman, boleh gugur hati perempuannya!
“Mestilah saya masak. Mak saya sibuk dekat kebun the dari pagi tadi.” Balas Sarah dengan wajah ceria apabila melihat Luqman begitu berselera mengunyah karipap kentangnya. “Sedap eh?”
“Sedap. Pandai awak masak, dah boleh kahwin ni.”
Sarah mengetap bibir dengan wajah terasa kebas seluruh muka. Aduhai Luqman, kenapa suka benar bermain dengan kata-kata seumpama itu?
“Banyaklah kahwin. Siapa nakkan saya ni.” Sarah menelan liur. Ah sudah, dia sudah terlepas cakap, pasti Luqman fikir yang bukan-bukan. “Maksud saya, saya tak ready lagi la. Baru je abis belajar, belum kerja takkan dah nak kahwin pulak.”

Luqman tergelak kecil. Masakan gadis secantik Sarah tiada yang berkenan. Di matanya Sarah tampak sempurna dan bakal peguam itu memang menepati ciri-ciri gadis idamannya. Lemah lembut, manis bertudung, berkulit cerah dan bermata bulat malah fizikal gadis itu tampak sempurna dengan ketinggiannya. Cuma dia belum merasakan apa yang sepatutnya untuk diberikan kepada Sarah.
Bukan dia tidak tahu sejak dari Tingkatan 3 lagi Sarah sudah cuba mendekati dirinya tapi dia sengaja tidak mahu melayan sangat perasaan itu. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia sudah bersedia atau tidak untuk memberikan hatinya kepada Sarah. Bimbang jika sekeping hatinya ini sebenarnya bukan milik gadis itu.
“Luq, saya dengar mak awak cakap awak nak kerja kat KL, betul ke?” Pertanyaan Sarah mengejutkan lamunan Luqman. Segera dia menghadiahkan senyuman untuk Sarah.
“Ha’ah. Mana awak tahu ni?”
“Petang semalam mak awak ada datang rumah hantar sayur.” Balas Sarah tenang. Tangannya melurut tudung yang tersarung kemas di kepalanya. “Awak dah dapat kerja ke? Dekat kompeni apa?”
“Belum dapat lagi, tapi kawan ayah saya kata boleh tolong dapatkan kerja dekat kompeni dia. Entahlah, belum confirm lagi pun.” Balas Luqman tenang.

Sarah terdiam. Jika Luqman bekerja di Kuala Lumpur, bermakna dia mungkin tidak akan dapat berjumpa dengan lelaki itu sekerap ini lagi. Dia sendiri sanggup menunda masa untuk mencari kerja kerana mahu meluangkan masa bersama Luqman. Kononnya dia sempat merapatkan hubungan antara mereka dan benar-benar berharap Luqman faham akan isyarat hatinya. Namun setakat hari ini, Luqman masih buat tidak tahu. Memang lelaki itu melayannya dengan baik, tapi tidak pula menunjukkan tanda berperasaan yang sama seperti dia. Atau sememangnya dia tiada tempat di dalam hati Luqman? Janganlah begitu..
“Awak pulak bila nak cari kerja?”
Sarah tersenyum kelat. “Erm belum lagi. Bulan depan kot saya pergi register.”
“Alah, awak kan bakal lawyer, senang-senang je dapat kerja.” Balas Luqman dengan tawa kecil. Sarah tersenyum segan.
“Tak jugak. Sekarang ni dah melambak lawyer kat Malaysia ni. Susah nak bersaing.”

Luqman mengangguk dengan senyuman. Tangannya mencapai tisu di dalam bakul dan mengelap jarinya yang berminyak dan berhabuk dengan sisa karipap.
“Cuba ajelah, awak cari la kerja dekat KL jugak. Kalau ada masa terluang boleh jugak kita keluar sama-sama kan?” Kata-kata Luqman membuatkan Sarah terpempan. Adakah Luqman memaksudkan apa yang dia katakannya?
“Err..betul ke awak nak keluar dengan saya?” Rasa debar yang mengetuk hari membuatkan Sarah gelisah.
“Mestilah, kalau dah sama-sama kat KL boleh aje. Kat sana banyak tempat best boleh kita lepak-lepak kan.” Balas Luqman selamba. “Saya ni pun bukan ramai kawan sangat dekat KL. Itu pun kalau awak sudi la.”
Sarah menelan liur lagi. Gila apa jika dia tidak sudi. Sekali Luqman mengajaknya, berpuluh-puluh kali dia akan sudi.
“Eh, saya tak kisah pun.” Balas Sarah dengan rona wajah kemerahan. Segan apabila renungan Luqman bergayut di wajahnya. Elokkah dia hari ini? Tudungnya tidak sengetkah? Ah, bimbang sungguh jika penampilannya ada cacat cela.

“Luqman.” Satu suara garau yang menyapa dari belakang membuatkan Sarah dan Luqman berpaling serentak. Serta merta mereka berdua melemparkan senyuman kepada lelaki lewat 50an yang menghampiri pangkin itu.
“Pakcik.” Sarah bangun dan bersalam dengan Rashid yang tersenyum senang melihat gadis itu.
“Hah, hari ni apa pulak Sarah bawakkan untuk Luqman?”
Sarah tersenyum segan dengan pertanyaan Rashid. Bimbang jika ayat itu berunsur sinis atau memerlinya namun terpandangkan senyuman dari bibir ayah Luqman itu, dia berasa lega kerana sangsinya tadi tidak benar sama sekali.
“Hari ni Sarah bawak karipap. Pakcik makan la sekali.”
“Oh tak apa. Pakcik baru je balik minum petang dekat rumah tadi.” Balas Rashid ramah sebelum matanya beralih pandang kepada Luqman. “Eh, kamu tak bersiap lagi ke? Sekejap lagi Datuk Zakri sampai.”
“Alah, Luq pakai macam ni ajelah ayah. Bukan nak kena interview hari ni.” Balas Luqman dengan sengihan lebar. Rasanya tidak perlu untuk dia berpakaian kemas kerana pertemuannya dengan Datuk Zakri hari ini tidak secara formal. Jadi jeans dan t-shirt sudah memadai.
“Kalau pakai kemas tu, kamju bagi tangkapan molek sikit dekat dia.” Balas Rashid tenang. “Ikut suka kamu la. Tapi jangan lambat sangat ke sana, biar kamu tunggu dia jangan dia pulak tunggu kamu.”
Luqman tersenyum senang dengan kata-kata ayahnya. Pastinya kerana Datuk Zakri adalah kawan paling rapat dengan lelaki itu.
“Baiklah ayah, Luq dah siap bersihkan batas kat pokok kacang panjang tu tadi. Ni sekejap lagi Luq terus ke sana la.”
“Haa baguslah kalau macam tu.” Rashid membuang pandang kepada Sarah yang sejak tadi mendiamkan diri. “Sarah,pakcik gerak dulu ye. Dah lama makcik kamu tunggu dalam van tu. Nak hantar sayur ke pekan sekejap.”
Sarah sekadar mengangguk dengan senyuman. Dalam hati dia tertanya-tanya juga siapa geragan Datuk Zakri yang menjadi bahan perbualan dua beranak itu.

Setelah Rashid beredar, Sarah mengemaskan bekas berisi karipap dan dimasukkan semula ke dalam bakul merah.
“Sarah, sorrylah tak dapat borak lama dengan awak. Saya kena jumpa orang ni, awak tak kisah ke?”
“Eh tak apa-tak apa. Awak buatlah kerja awak dulu. Saya pun nak balik dah ni.” Balas Sarah pantas. Namun hatinya terbit juga rasa bangga apabila Luqman ada memikirkan tentang dirinya, lelaki itu takut benar dia berkecil hati. Seronoknya!
“Saya balik dulu Luq, assalamualaikum.” Sarah menjinjing bakul dan berkira-kira untuk berlalu sebelum Luqman memanggilnya perlahan. Dalam debar dia berpaling memandang Luqman yang sedang tersenyum manis. Ya Allah, kacaknya hambaMu ini!
“Thanks sebab bawakkan karipap sedap tu.”
Sarah tersenyum segan sebelum dia berpaling semula meneruskan langkah dengan wajah merona kemerahan. Dalam hatinya gembira bukan kepalang.

‘Luqman, kalau awak kahwin dengan saya, lebih daripada ini saya boleh masakkan awak!’ Bibirnya mengukir senyuman lebar.

************

















3 Baca Laju-Laju:

N@wZIera said...

hurm..mcm na neyh..luqman ada secret admire kat kg da...apa jadi dgn mel erk..hurmm..menarik,menarik..next en3 apa cer lak erks..

nurul said...

sarah2..kelakar..

nabila said...

huhu, sapa kata bdk kg x pndai nk flirt.. dah ada saingan la cik heroin kita

Kaunter Pertanyaan

Baiklah, jawapan DISINI